Artikel: Schwartz, A., Gerberich, S. G., Kim, H., Ryan, A. D., Church, T. R., Albin, T. J., ... & Arauz, R. F. (2019). Janitor ergonomics and injuries in the safe workload ergonomic exposure project(SWEEP) study. Applied ergonomics, 81, 102874.
Ergonomik ialah sebuah kajian tentang ciri-ciri manusia yang membolehkan sesuatu ciptaan atau reka bentuk itu disesuaikan dengan persekitaran kerja dan kehidupan untuk mencapai kesejahteraan dalam melakukan sesuatu pekerjaan oleh manusia. Dalam kata lain ergonomik ialah bidang kajian yang difokuskan pada individu dan bagaimana mereka berinteraksi dengan pekerjaan, tempat kerja, sistem dan produk mereka. Perubahan dan kemajuan teknologi yang semakin berkembang ini menunjukkan pelbagai peralatan dan teknologi telah dibangunkan bagi meningkatkan keperluan ergonomik. Dalam ergonomik penekanan diberikan pada kecekapan dan seberapa baik individu berinteraksi dan berprestasi di tempat kerja, sistem dan produk. Sebagai contoh, stesen kerja ergonomik akan dirancang dengan mempertimbangkan individu yang menggunakannya ini termasuklah penempatan barang-barang yang digunakan dengan selesa, cekap, berfungsi dan selamat bagi individu yang menggunakannya. Ergonomik ini juga sering dikaitkan dengan produktiviti dan beban kerja, di mana keperluan ergonomik bukan sahaja dilihat penting dalam meningkatkan produktiviti pekerjaan seseorang tetapi juga ia sebagai elemen penting dalam mengurangkan beban kerja kepada pekerja terutamanya bidang pekerjaan yang melibatkan risiko yang tinggi kepada kesihatan fizikal seperti pekerja pembersihan.
Dalam konteks beban kerja ini, ergonomik ini tidak hanya dititikberatkan kepada pekerja di sektor industri besar sahaja tetapi juga ianya juga melibatkan pekerjaan pembersihan yang merupakan sektor yang sangat penting dalam setiap industri tetapi sering dipinggirkan. Oleh itu, dalam penulisan ini saya tertarik untuk menggunakan sebuah artikel berkaitan dengan pekerja pembersihan (janitors) yang dihasilkan oleh Adam Schwartz dan rakan penyelidik yang lain pada tahun 2019. Artikel itu bertajuk Janitor ergonomics and injuries in the safe workload ergonomic exposure project(SWEEP) study. Kajian ini dilaksanakan untuk menilai sekiranya terdapat beban kerja ergonomik berkaitan dengan kecederaan di kalangan pekerja kebersihan. Menurut Nonfatal (2016), pekerja pembersihan ini melibatkan beban kerja fizikal yang tinggi, ianya membahayakan lebih 2.7 kali lebih tinggi daripada pekerjaan lain. Kenyataan ini juga disokong oleh Charles et al. (2009), kerana beliau menerangkan bahawa pekerja pembersihan secara semula jadinya akan terdedah dengan masalah pernafasan dan dermatologi, tekanan psikososial, gangguan mental, penyakit berjangkit, dan kecederaan terutamanya yang melibatkan gangguan muskuloskeletal.Jadi dalam penulisan ini saya akan menerangkan dengan mendalam konteks ergonomik dalam pekerjaan pembersihan terutamanya dalam mengurangkan risiko kecederaan dan kesihatan pekerja. Kajian ini dilaksanakan menggunakan kaedah pemerhatian dan 30 orang pekerja pembersihan dimana mereka ini diperhatikan dalam beberapa tempoh untuk mengenal pasti tugastugas, pendedahan, beban kerja dan pelbagai maklumat seperti kecederaan yang berlaku sepanjang tempoh pemerhatian. Pekerja pembersihan tersebut juga dikehendaki menjawab beberapa borang soal selidik untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai beban kerja yang dialami oleh mereka.
Berdasarkan artikel tersebut, perkara pertama yang saya hendak bahaskan ialah mengenai beban kerja berlebihan dalam sektor perkerjaan pembersihan yang membuktikan konsep ergonomik yang lemah di dalam pekerja pembersihan. Menurut artikel yang dikaji ini, pekerja kebersihan sekolah telah dilihat melakukan teknik mendorong, menarik, menggenggam dengan tangan kiri, menggenggam dengan tangan kanan dalam tugas-tugas pembersihan ini yang telah mendorong kepada kecederaan muskuloskeletal. Ini adalah petunjuk penting bahawa beban kerja fizikal perlu diperiksa di atas pekerja kebersihan untuk memahami risiko kecederaan yang berkaitan dengan pekerjaan yang mereka laksanakan. Sebagai contoh dalam artikel ini ada mengutarakan soalan mengenai bilangan tong sampah yang perlu dikosongkan setiap hari dan frekuansi tugas per masa bagi setiap tugasan, perkara ini amat menimbulkan kemarahan saya dan saya sangat tidak bersetuju dengan penilaian sebegini kepada pekerja pembersihan kerana bagi pekerja pembersihan ini mereka tidak seharusnya ditekankan dengan bilangan – bilangan tertentu bagi setiap tugasan kerana tugasan yang dihasilkan oleh mereka itu bukanlah bersifat produk kepada syarikat yang hendak dikomersialkan atau dikeluarkan. Kita sewajarnya memahami konsep produktiviti pekerja pembersihan ini yang memberikan perkhidmatan pembersihan bukanlah memberikan produk kepada syarikat. Beban kerja yang berlebihan ini telah mempengaruhi kesihatan mereka dengan pelbagai cara termasuklah kecederaan badan dan patah tulang akibat tergelincir dan jatuh semasa bergegas menyelesaikan kerja mereka. Selain itu terdapat juga kecederaan ergonomik dimana faktor risiko seperti kerja berulang, penggunaan vakum dan mengangkat barang berat, perkara ini seharusnya diberikan penekanan dengan mengaplikasikan konsep ergonomik dalam pekerjaan yang dilakukan. Seterusnya, tekanan dan kesihatan mental, termasuk kegelisahan, kekecewaan dan ketakutan dalam kalangan pekerja adalah situasi realiti yang dialami oleh mereka. Tekanan kerja ini adalah digambarkan berkaitan dengan persekitaran kerja dengan tekanan tinggi, hubungan tekanan dengan penyelia dan rakan sekerja dan juga yang paling penting iaitu penyesuaian berterusan yang perlu mereka lakukan setiap hari atau minggu untuk pekerjaan mereka (Sezanne Teran et al, 2017). Disini peranan majikan adalah sangat penting untuk memastikan kesejahteraan pekerja berada pada tahap yang optimum semasa melaksanakan tugasan.
Seterusnya ialah mengenai cadangan penerapan ciri ergonomik kepada pekerja pembersihan. Majikan seharusnya menitikberatkan konsep ergonomik dalam pekerjaan yang dilakukan pekerja pembersihan ini termasuklah peralatan dan penggunaan mesin yang sesuai dan selesa, jadual waktu yang efisen dan persekitaran yang baik dan kondusif untuk pekerja melaksanakan pekerjaan pembersihan dengan baik. Dalam artikel ini ada menyebut mengenai beberapa tugasan yang disenarai ringkaskan sebagai tugas yang sering dilakukan oleh pekerja pembersihan yang ditafsirkan sebagai paling berisiko dan berbahaya kepada pekerja. Disini juga saya mengemukakan sekali cadangan saya untuk menerapkan konsep ergonomik dalam setiap tugasan tersebut. Tugasan yang pertama ialah, mengosongkan tong sampah besar di mana pekerja pembersihan di minta untuk memindahkan tong sampah 40 paun sejauh 20 kaki dan kemudian meletakkan beg baru di tong tersebut. Tugasan ini jika dilakukan kerap bukan sahaja menjadi punca masalah tulang belakang tetapi pelbagai lagi masalah otot lain. Oleh itu cadangan saya ialah dengan menggantikan tong sampah sedia ada dengan tong sampah beroda. Seterusnya, ialah membersihkan tong sampah kecil disetiap bawah meja pekerja. Perkara ini adalah sangat memberikan ketidak selesaan kerana bayangkan setiap pejabat mempunyai berpuluh pekerja dan setiap hari pekerja pembersihan perlu membongkokkan badan untuk mengeluarkan sampah, mengikat, menggantikan plastik baru dan mengumpulkan semua sampah tersebut di tong yang lebih besar. Di sini, cadangan saya adalah dengan menetapkan peraturan dimana setiap kali sampah sudah penuh setiap pekerja perlu bertanggungjawab untuk mengikat sampah sendiri dan meletakkan di tepi meja bagi memudahkan pekerja pembersihan untuk mengambil sampah tersebut dan memberikan plastik yang baharu. Seterusnya ialah membersihkan debu, pembersihan debu ini adalah sangat berisiko kerana ianya melibatkan ketinggian, jentera yang berbahaya sepeti kipas, mesin, siling, lampu dan banyak lagi. Di sini cadangan yang saya boleh berikan adalah dengan melakukan pekerjaan secara perkumpulan dan menggunakan peralatan yang ergonomik dan canggih seperti mesin penyedut debu, batang pembuang debu boleh laras dan bukanmenggunakan kaedah manual seperti tuala dan tangan. Selain itu, tugas yang paling disinonimkan dengan pekerja pembersihan iaitu mencuci tandas, di sini ciri- ciri keselamatan adalah sangat penting terutamanya pemakaian kasut getah kerana hampir kebanyakkan kemalangan yang berlaku di tandas adalah disebabkan pemakaian kasut yang tidak sesuai yang menyebabkan kegelinciran. Seterusnya ialah pembersihan cermin bangunan. Tidak dinafikan tugasan ini ialah yang paling mencabar dan sangat berisiko terutamanya kepada pekerja yang tidak mahir. Oleh itu cadangan saya disini ialah majikan seharusnya memberikan latihan atau kursus yang bersesuaian sebelum memberikan tugasan tersebut kepada pekerja pembersihan, di samping itu peralatan keselamatan juga adalah sangat penting kepada mereka untuk menjalankan tugas-tugas pembersihan dengan baik.
Kesimpulannya, artikel ini membuktikan bahawa beban kerja ergonomik yang berkait secara positif dengan kecederaan. Selepas membaca dan memahami artikel tersebut juga saya dapat simbulkan bahawa beban kerja dalam kalangan pekerja pembersihan adalah sangat tinggi dan berisiko kerana tugas – tugas yang diberikan kepada mereka adalah sangat berbahaya dan melibatkan pengulangan yang sangat kerap. Situasi ini bukan sahaja akan memberikan masalah kesihatan fizikal kepada mereka tetapi juga kesihatan mental. Sememangnya setiap pekerjaan ada risiko yang tersendiri tetapi pendedahan dan penerapan konsep ergonomik yang diwujudkan oleh majikan kepada pekerja-pekerja ini setidak-tidaknya memberikan sedikit jaminan dan kesejahteraan kepada mereka dalam menjalankan tugasan. Oleh itu, tidak ada satu sektor sekalipun yang boleh dikecualikan daripada pengaplikasian ergonomik. Jadi, setiap majikan perlu memainkan peranan untuk menitikberatkan konsep ergonomik dalam syarikat masing-masing bagi memastikan kesejahteraan dan mengurangkan risiko kecederaan dan kemalangan dalam kalangan pekerja.
Schwartz, A., Gerberich, S. G., Kim, H., Ryan, A. D., Church, T. R., Albin, T. J., ... & Arauz, R.F. (2019). Janitor ergonomics and injuries in the safe workload ergonomic exposure project (SWEEP) study. Applied ergonomics, 81, 102874.
Nonfatal, B.L.S., (2016). Occupational Injuries and Illnesses Requiring Days Away from Work. Economic News Release.
Charles, L.E., Loomis, D., Demissie, Z., (2009). Occupational Hazards Experienced By Cleaning Workers and Janitors: A Review Of The Epidemiologic Literature. IOS Press
Tiada ulasan:
Catat Ulasan