Selasa, 22 Disember 2020

PSIKOSOSIAL ERIK ERIKSON (LATAR BELAKANG DAN PERINGKAT - PERINGKAT)


BAHAN DI BAWAH IALAH IDEA DAN PENULISAN PENULIS BAGI TUGASAN UNIVERSITI, PEMBACA DILARANG UNTUK MELAKUKAN PLAGARISME ATAU MENIRU BAHAN PENULISAN BAGI TUJUAN YANG SAMA. 






Latar Belakang Erik Erikson 

Teori ini diperkenalkan oleh Erik Erikson ( 1902 – 1994 ) dan dikenali sebagai Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson. Ini kerana teori ini menggabungkan faktor kendiri, emosi dan sosial dalam perkembangan individu. Beliau telah membuat penyelidikan mengenai perkembangan kanak-kanak dan jangka masa kehidupannya. Dalam kajiannya, beliau menjelaskan bahawa keperluan asas setiap manusia adalah sama dan tindak balas terhadap keperluan itu yang memberi kesan kepada perkembangan mereka. Teori ini merupakan kesinambungan daripada rangka kerja psikoseksual Sigmund Freud. Erik Erikson percaya bahawa personaliti seseorang terbentuk dalam satu siri peringkat berbanding Sigmund Frued yang menerangkan dalam teorinya mengenai kesan pengalaman yang merentasi keseluruhan hidup seseorang dari lahir hingga kematian. Erikson percaya perkembangan kanak-kanak berlaku mengikut satu tahap ke tahap yang berikutnya sebanyak 8 peringkat dan setiap tahap mempunyai konflik tertentu.
Erik Homburger Erikson dilahirkan dengan nama Erik Salomonsen. Tokoh psikososial ini dilahirkan di Franfrurt Jerman (15 Jun 1902 – 12 Mei 1994) dan dikenali dengan teorinya iaitu teori perkembangan psikososial manusia. Beliau dilahirkan sebagai seorang yang berketurunann Jerman-Yahudi. Sejak kecil beliau sering diejek kerana menjadi satu satunya kanak-kanak yang berambut perang dan bermata biru di kalangan Yahudi. Di sekolah pula, beliau diberi tekanan dengan ejekan Yahudi. Sepanjang beliau menginjak dewasa, beliau selalu berada dalam kebimbangan dengan identiti dirinya sehingga bertindak untuk menggantikan namanya. Beliau menggunakan nama Erikson sebagai cara menentukan identiti peribadinya.

Berdasarkan pengalaman tersebut, Erik Erikson menjadi kurang berjaya dalam bidang akademik. Namun beliau dikenali sebagai seorang pengembara dan banyak menghabiskan berjalan ke beberapa buah negara dan berjumpa dengan beberapa ilmuan dan pengiat ilmu sehingga terdorong untuk menyambung pengajian di Institusi Psikoanalisis . Sepanjang tempoh itu, Erikson sangat tertarik dengan perkembangan kanak-kanak kesan dari pengaruh masyarakat. Keinginan yang mendalam untuk mengkaji perkembangan kehidupan manusia didorong dengan pengalaman buruk yang dialaminya ketika di alam persekolahan. Beliau memberi sumbangan yang sangat besar dalam dunia psikologi apabila buku pertamanya dilancarkan iaitu Childhood and Society (1950) dan beberapa buah buku lain seperti Young Man Luther (1958), Insight and Responsibility (1964), Identity (1968), Gandhi's Truth(1969) dan Vital Involvement in Old Age (1986).
B) Tahap Perkembangan Psikososial
Erik Erikson menerangkan teorinya melalui 8 (Delapan ) tahap perkembangan yang akan dilalui oleh manusia iaitu :


i. Tahap 1 : Kepercayaan Vs Ketidakpercayaan

Tahap ini merupakan tahap perkembangan yang pertama berlaku dalam perkembangan manusia. Tahap ini berlangsung pada masa oral iaitu pada peringkat lahir hingga berusia 18 bulan. Tahap ini disebut sebagai tahap oral kerana bayi secara fitrahnya akan memasukkan segala sesuatu yang mampu dicapai kedalam mulutnya.
Hal pertama yang akan dipelajari seorang anak atau bayi adalah rasa percaya pada orang sekeliling terutamanya kepada mereka yang selalu berada disekelilingnya. Pada peringkat awal rasa kepercayaan dibina secara berperingkat. Dalam hal ini, seorang ibu atau pengasuh memainkan peranan penting untuk memberikan perhatian positif dan kasih sayang kepada anak maka anak akan berasa selamat dan percaya. Apabila bayi berhasil membina kepercayaan kepada si ibu atau pengasuhnya dan tempoh tersebut dilalui dengan baik, bayi akan membina perasaan percaya kepada sekelilingnya dan melihat bahawa kehidupan pada dasarnya baik.
Namun, sebaliknya apabila wujud ketidakstabilan dan emosi terganggu dalam tempoh ini, bayi akan membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak dapat dipenuhi seterusnya wujud perasaan takut dan tidak percaya pada sekelilingnya sehingga bayi tersebut akan selalu curiga seterusnya mendorong kepada berlakunya tingkah laku negatif.
Kesimpulannya, seorang bayi mestilah menjalinkan hubungan kasih sayang serta kepercayaan dengan ibunya atau sebaliknya membentuk perasaan tidak percaya. Bayi yang tidak diberi penjagaan yang sepatutnya seperti penyusuan, tidak dijaga atau lampin yang tidak ditukar menyebabkan sifat ketidakpercayaan kepada orang lain itu timbul dalam diri bayi yang seterusnya memberikan impak ketakutan dan berprasangka negatif kepada bayi.


ii. Tahap 2 : Autonomi Vs Malu/Ragu

Pada tahap ini merupakan peringkat awal kanak-kanak iaitu pada usia 18 bulan sehingga 3 tahun. Tahap ini merupakan tahap anus otot memainkan peranan yang penting dalam perkembangan kanak-kanak. Kemampuan kanak-kanak untuk melakukan beberapa hal pada tahap ini sudah berkembang. Pada tahap ini kanak-kanak sangat aktif dan dalam waktu ini ibu bapa atau pengasuh dilarang bertindak keras atau mengehadkan keaktifan kanak-kanak tersebut namun tidak pula terlalu memberikan kebebasan melakukan apa sahaja yang diminta. Kanak-kanak mula belajar untuk diri sendiri, mereka bukan sekadar belajar berjalan, bercakap, makan tetapi juga mempelajari latihan yang halus seperti latihan tandas atau ‘ toilet training’. Kanak – kanak akan mula mempelajari harga diri dan kemampuan anggota badan mengendalikan bahagan tubuh. Dari situ, wujudnya pemahamam mengenai salah atau betul.
Seterusnya di peringkat ini juga, keinginan kanak-kanak untuk memiliki kuasa sangat tinggi, Kepercayaan yang diberikan si ibu dan pengasuh memberikan kesempatan kepada kanak-kanak untuk belajar bereksplorasi sendiri dengan dibawah bimbingan akan dapat membentuk keperibadian dan kepercayaan dalam diri. Kanak-kanak menginginkan sokongan ibu bapa dalam membuat sesuatu dengan daya usaha sendiri. Kebebasan dan ruang yang diberikan akan menimbulkan rasa percaya dengan keupayaan diri dan kanak-kanak tersebut akan cuba mengawal penguasaan diri dengan baik.
Selain itu, kegagalan dalam peringkat ini khususnya berkenaan dengan kegagalan dalam proses ‘toilet training’ atau kemahiran lain akan menyebabkan wujudnya perasaan malu dan ragu-ragu dalam diri kanak-kanak. Di samping itu, ibu bapa atau pengasuh yang terlalu mengawal kebebasan anak dan bersikap keras akan menganggu perkembangan kanak-kanak. Mereka akan membesar menjadi seorang yang pemalu dan tidak memiliki rasa percaya diri dan juga kurang berdikari. Hasilnya, kanak-kanak akan menjadi lemah dan tidak bersaing sehingga berasa malu dan ragu-ragu dengan kemampuan diri sendiri, mereka berasa takut untuk melakukan kesalahan dan seterusnya kanak-kanak tersebut hilang rasa kepercayaan dalam diri mereka.
Kesimpulannya, perkembangan kanak-kanak pada tahap ini tertumpu kepada perkembangan kemahiran fizikal seperti ‘toilet training’, berjalan, bercakap dan lain-lain. Perasaan percaya kepada keupayaan diri timbul apabila kanak-kanak ini berjaya mendapat sokongan sebaliknya jika gagal, mereka akan ragu-ragu terhadap keupayaan diri.


iii. Tahap 3: Inisiatif Vs Rasa Bersalah (Inisiative Vs Guilt)

Peringkat ini adalah kanak-kanak yang berumur 3-5 tahun. Peringkat ini juga selari dengan teori psikoseksual Freud iaitu peringkat kubul (phallic). Kawasan pemuasan berpindah kepada alat kelamin lelaki iaitu zakar dan alat kelamin perempuan iaitu faraj. Seterusnya, kepuasan seksual didapati apabula kanak-kanak mula mengenal organ seks mereka dan mula bereksperimentasi (sentuhan). Dalam fasa ini juga, konflik dengan ibu bapa tercetus menurut Freud iaitu Oedipus kompleks dan Elektra komples. Oedipus kompleks ialah kanak -kanak lelaki sukakan ibunya sendiri manakala Elektra kompleks kanak-kanak perempuan sukakan ayahnya sendiri.
Kanak-kanak yang berada di sekolah pada tahap ini mula menunjukkan kekuatan dan kontrolnya tentang dunia melalui permainan dan interaksi sosial bersama kawan-kawannya. Mereka menunjukkan minat kerana dunia sosial lebih luas, maka perilaku mereka lebih aktif dan bertujuan. Anak-anak yang lahir pada tahap ini akan merasa mampu dan yakin untuk memimpin oran lain.
Mereka yang gagal mencapai tahap ini akan merasa bersalah, ragu-ragu dan kurang inisiatif. Perasaan bersalah yang tidak menyenangkan dapat muncul apabila ibu bapa tidak memberi kepercayaan terhadap anak-anak mebuatkan mereka merasa cemas. Erikson yakin bahawa kebanyakan rasa bersalah dapat digantikan dengan cepat oleh rasa inisiatif.


iv. Tahap 4 : Tekun Vs Rasa Bersalah (Industry Vs Inferiority)
Individu yang berada peringkat kelima ini berumur 5-12 tahun. Peringkat ini selari dengan teori psikoseksual Freud iaitu peringkat laten. Tindak balas seks mereka pula tidak aktif pada peringkat ini. Bagi tiga struktur terbesar personaliti iaitu id, ego dan superego telah menjadi solid pada peringkat ini .Individu yang berada di peringkat ini akan mula membina hubungan persahabatan dengan teman sejantina. Mereka turut bergiat aktif dengan aktiviti-aktiviti di sekolah contohnya seperti sukan, pertandingan dan akademik. Mereka menjadi lebih serius untuk menyelesaikan tugasan dengan memberi perhatian, berhati-hati dan gigih.
 Selain itu, tingkah laku dan perangai ibu bapa menjadi galakan untuk kanak-kanak menggunakan kemahiran mereka dalam melakukan kerja. Seterusnya jika anak-anak telah dimarah atau dibiarkan, mereka menjadi takut dan rasa bersalah. Kekuatan asas dalam menjana ketekunan dalam peringkat laten ialah persaingan. Ini melibatkan kemahiran dan kegigihan dalam menyelesaikan tugasan.
Galakan yang dicapai sebelumnya telah memotivasikan mereka untuk terlibat dengan pengalaman-pengalaman baru. Ketika beralih ke masa pertengahan dan akhir kanak-kanak, mereka mengerahkan tenaga mereka untuk menuju ke penguasaan pengetahuan dan keterampilan intelektual. Permasalahan yang timbul pada zaman sekolah ialah timbulnya rasa rendah diri, tidak yakin dan tidak produktif dalam diri kanak-kanak. Erikson yakin bahawa guru memiliki tanggungjawab khusus untuk membentuk ketekunan dalam diri kanak-kanak di sekolah.


v. Tahap 5 : Identiti Vs Kekeliruan Identiti

Golongan yang mengalami krisis ini berumur dua belas hingga lapan belas tahun. Ini adalah tahap dimana identiti ego ditemui dan diselesaikan. Sekiranya krisis pada tahap ini dapat diselesaikan, maka diri individu itu akan mendapat gambaran yang jelas mengenai dirinya. Manakala sekiranya gagal, kekeliruan identiti akan berlaku. Remaja yang melalui krisis ini akan mempunyai pelbagai persoalan yang timbul di fikiran mereka. Mereka yang melalui krisis ini juga akan berasa seperti mereka tidak mengetahui di mana tempat mereka dan siapa yang ingin mereka jadi.
Identity achievement ialah keadaan di mana seseorang itu mencapai identiti mereka. Seseorang yang mencapai identiti mereka akan mengambil kira minat dan bakat mereka dalam membuat keputusan tentang masa depan mereka. Mereka juga akan membuat keputusan dengan baik dan teliti untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk diri mereka. Mereka yang telah mencapai identiti mereka adalah mereka yang berjaya menyelesaikan krisis identiti. Sewaktu krisis, mereka membuat keputusan sendiri berdasarkan pendapat mereka tentang apa yang mereka percaya terbaik untuk diri mereka. Golongan yang mencapai identiti mereka juga terdiri daripada golongan yang mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapa mereka untuk membuat keputusan mereka sendiri.
Seterusnya, foreclosure ialah keadaan di mana seseorang itu tahu apa yang mereka akan buat untuk masa depan mereka berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh orang lain. Mereka ini membuat komitmen tanpa memikirkan terlebih dahulu tentang apa pilihan yang terbaik untuk diri mereka. Mereka juga tidak pernah mempertimbangkan untuk membuat sesuatu yang lain daripada yang telah ditetapkan untuk mereka. Golongan ini gembira dengan apa yang telah ditetapkan namun mereka akan bersikap dogmatik sekiranya pilihan mereka dipersoalkan. Golongan ini masih belum melalui krisis dan masih belum membentuk pendapat mereka sendiri. Sebagai contoh, perkara yang berkaitan agama dan peranan jantina.
Selain itu, moratorium pula ialah apabila seseorang itu mempertimbangkan pelbagai cara yang akan menuju ke arah komitmen. Golongan ini berbeza dengan mereka yang mencapai identiti kerana mereka tidak mampu membuat pilihan. Golongan ini tidak pasti tentang apa yang ingin dan apa yang patut mereka lakukan. Golongan ini akan berasa sukar untuk membuat keputusan. Namun begitu, golongan ini merupakan mereka yang peramah, berkeyakinan tetapi mempunyai perasaan takut terhadap banyak perkara. Pada tahap moratorium juga, remaja mula untuk memberi komitmen kepada sesuatu identiti tetapi identiti tersebut masih lagi diperkembangkan.
Akhir sekali, identity diffusion ialah apabila seseorang itu langsung tiada kesedaran tentang komitmen dan tidak mengambil berat tentang alternatif dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, golongan ini tidak mempunyai cita – cita tentang apa yang ingin mereka lakukan pada masa hadapan dan tidak berasa bimbang walaupun sedikit. Mereka juga akan sentiasa berasa bahawa mereka pasti boleh membuat pilihan apabila tiba suatu masa yang sesuai. Mereka akan berpuas hati dengan apa sahaja yang mereka boleh capai tanpa perlu berfikir panjang dan tanpa membuat penilaian terhadap sesuatu perkara terlebih dahulu. Golongan ini kebiasaannya tidak yakin dengan diri sendiri dan sentiasa menolak komitmen. Mereka juga selalunya berasa kesunyian dan tidak gembira.


vi. Tahap 6 : Kemesraan Vs Keterasingan

Peringkat ini berlaku pada waktu dewasa awal iaitu pada umur dua puluh hingga empat puluh tahun. Pada peringkat ini, mereka akan terlibat dengan kemesraan atau isolasi. Erikson percaya bahawa ia amat penting untuk membentuk hubungan yang rapat dengan orang lain. Hal ini kerana perkara tersebut memainkan peranan yang amat penting pada tahap ini. Erikson juga menyatakan bahawa hubungan mesra ini juga boleh dikaitkan dengan keakraban, kejujuran dan cinta.
Mereka yang berjaya melepasi tahap ini akan mampu membina hubungan yang akrab dan bermakna dengan orang di sekeliling mereka. Mereka juga bukan sahaja akan mempunyai hubungan yang mampu bertahan pada masa yang lama malahan hubungan kekeluargaan yang baik. Selain itu, mereka akan mempunyai hasrat dan ingin mencari pasangan hidup. Mereka juga akan dapat bergaul dengan orang yang berlainan jantina dengan mereka dengan mesra. Mereka turut menjadi seorang yang amat aktif dalam masyarakat.
Manakala sekiranya mereka gagal, mereka akan lebih memilih untuk menyendiri daripada bergaul dengan masyarakat. Mereka juga kurang berinteraksi dengan masyarakat selain daripada ahli keluarga mereka. Orang dewasa yang gagal pada tahap ini akan mengalami hubungan romantik yang tidak begitu baik. Mereka juga berkemungkinan untuk tidak membentuk apa - apa hubungan. Hal ini adalah sukar terutamanya apabila mereka melihat rakan – rakan mereka jatuh cinta, membina keluarga dan sebagainya. Mereka ini juga akan merasa kesunyian dan dan terpinggir. Sesetengah daripada mereka juga akan merasa kesunyian apabila mereka cuba untuk membina hubungan persahabatan yang rapat dengan seseorang.


vii. Tahap 7 : Generativiti Vs Stagnasi

Ini adalah tahap kedua dalam perkembangan kedewasaan dan berlaku pada sekitar usia 30 sampai 60 tahun. Generativitasi adalah perluasan cinta ke masa depan. Sifat ini adalah tindakan peka terhadap generasi yang akan datang. Generativitasi dapat dicerminkan sebagai sikap mempedulikan orang lain. Individu yang tidak berjaya melalui generativitasi ini akan mengalami stagnasi dan tidak peduli kepada sesiapa. Jika individu tersebut sudah berjaya didalam kehidupannya dan telah mengembang dan mengekalkan identiti positif serta menjalani hidup yang bahagia, beliau akan berusaha untuk mengembangkan situasi itu kepada generasi yang seterusnya pada masa hadapan.
             Harapan yang ingin dicapai oleh setiap individu pada masa ini ialah lahirnya keseimbangan antara generativitasi dan stagnasi dalam mendapatkan nilai positif untuk meneruskan kelangsungan hidup diri dan generasi seterusnya. Ritualisasi dalam tahap ini meliputi generasional dan otoritisme. Generasional ialah suatu interaksi/hubungan yang terjalin secara baik dan menyenangkan antara orang-orang yang berada pada usia dewasa. Ritual ini bercirikan dimana orang dewasa akan memupuk dan cenderung untuk mewariskan nilai- nilai budaya kepada generasi yang seterusnya. Manakala otoritisme pula adalah apabila orang dewasa merasakan bahawa mereka memiliki kemampuan yang lebih berdasarkan pengalaman yang telah mereka alami serta tegas dalam memberikan segala peraturan yang ada untuk dilaksanakan sehingga hubungan diantara mereka dan generasi seterusnya akan menjadi keruh dan kurang menyenangkan.


viii. Tahap 8 : Integriti Vs Keputus Asaan

Tahap terakhir dalam teori Erik Erikson ini disebut tahap usia senja yang berlaku pada sekitar usia 60 atau 65 ke atas. Dalam teori Erikson, orang yang sampai pada tahap ini sudah sudah berjaya melalui tujuh tahap-tahap sebelumnya. Tugas pada usia ini adalah integritasi dan berupaya menghilangkan rasa putus asa dan kekecewaan. Pada masa ini, seseorang individu akan melihat kembali (flash back) kehidupan yang telah mereka jalani dan berusaha untuk menyelasaikan segala permasalahan yang berlaku pada sebelum ini. Tahap ini merupakan tahap yang agak sukar kerana sesetengah individu merasakan bahawa diri merasa terasing. Mereka beranggapan bahawa orang pada usia senja tidak dapat berbuat apa-apa lagi atau tidak berguna.
Menurut Erikson, individu yang berpuas hati dengan pencapaian sebelumnya akan berasa tenang dan bagia. Individu ini juga dikatakan mempunyai perasaan yang utuh manakala individu yang tidak berjaya dan kecewa dengan pencapaian sebelumnya akan mengalami rasa keputusasaan. Inidividu yang berputus asa ini merasakan ketidaksenangan didalam hati mereka kerana mereka beranggapan bahawa mereka belum meraih tujuan utama di dalam kehidupannya.


Kesimpulan
Teori perkembangan yang dikeluarkan oleh Erik Erikson merupakan salah satu teori yang memiliki pengaruh yang besar dalam dunia psikologi berbanding teori yang dikemukakan oleh Sigmund Freud. Hal ini dikatakan demikian kerana, Erik Erikson menjelaskan dengan terperinci tahap perkembangan manusia dari lahir sehingga kematian dengan menerangkan aspek kehidupan sosial dan fungsinya yang dianggap lebih bersifat realiti. Beliau menegaskan tahap-tahap perkembangan seseorang dari lahir dipengaruhi oleh pengaruh sosial yang berlaku disekelilingnya. Oleh itu, masyarakat perlu peka dengan terhadap layanan mereka kepada kanak-kanak dengan menerapkan unsur-unsur kebaikan dan positif kepada mereka sejak kecil.
- aaisyaadi (semester 1, UKM Psychology) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AI and Humans: Will we be replacing by AI?

  The rise of artificial intelligence (AI) has sparked questions and concerns about the future of human involvement. Will AI replace humans ...