Amazon atau Amazon.com adalah perniagaan dalam talian yang terbesar di dunia. Selama hampir dua dekad Amazon telah menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan hampir ke seluruh dunia. Menurut Margaret Rouse dalam lama web WhatIs.com, pengasas Amazon iaitu Jeff Bezos menggunakan nama ‘Cadabra’ pada tahun 1994 tetapi menukarkan nama tersebut menjadi Amazon untuk pelancaran laman web pada tahun 1995. Jeff Bezos dikatakan telah merujuk kamus bahasa untuk mencari perkataan yang bermula dengan huruf "A" dan memilih nama Amazon kerana nama tersebut sangat eksotik dan berbeza. Tambahan beliau Amazon itu juga diambil bersemperna dengan nama sungai Amazon iaitu salah satu sungai terbesar di dunia dengan harapan syarikatnya juga boleh berkembang sebesar sungai tersebut.
Pada awalnya penubuhan Amazon, visi utamanya adalah untuk membina sebuah pusat membeli belah alam maya bagi pencinta buku kerana beliau yakin dengan permintaan yang besar dalam bidang sastera di dunia. Bermula dengan hanya menjalankan perniagaan di garaj rumah sewa beliau di Washington secara kecil-kecilan kini Amazon menjadi hub kedai buku terbesar di dunia apabila menjadi platform utama kepada seluruh masyarakat dunia yang ingin mencari dan memilih buku yang dikehendaki. Pada bulan pertama pelancarannya, Amazon telah menjual buku kepada orang-orang di semua 50 negeri di Amerika Syarikat dan di 45 negara yang berbeza. Syarikatnya semakin berkembang dengan pesat sehingga pada tahun 1999, Amazon melancarkan perkhidmatan lelong dalam talian yang bernama Amazon Auctions dan mula menawarkan permainan dan peralatan elektronik dan kemudian membekalkan produknya ke kedai persendirian dalam laman webnya untuk memudahkan pelanggan membeli barang-barang tersebut. Tidak hanya itu, syarikatnya terus berkembang lagi dengan menjual pula pelbagai jenis barangan lain seperti buku, CD, video, DVD, alat, perabot dan peralatan rumah tangga, pakaian, dan alatan dapur. Pada ketika itu, Amazon menjadi platform untuk peruncit dan individu dengan menawarkan perkhidmatan mereka kepada empat jenis kategori pelanggan iaitu pengguna, penjual, perusahaan dan pereka.
Menurut laman web Podean yang merupakan agensi perundingan dan pemasaran global Amazon sendiri berkata melalui perjanjian pihak ketiga, Amazon telah menjual produk dari pelbagai syarikat terkenal termasuk Toysrus.com, Target Corporation, The Borders Group, Waterstones, Hotwire dan banyak lagi. Oleh itu, Amazon di kiritik kerana memberi fokus kepada bahagian pasaran berbanding keuntungan. Namun, Amazon membuat kejutan dengan memperoleh keuntungan bersih pertamanya pada suku keempat seawal tahun 2001. Laporan tahunan 2013, menyatakan Amazon mula melayani pembeli melalui laman web popular www.amazon.com. Kini pembeli dapat mengakses melalui teknologi mudah alih. Aplikasi Amazon.com juga tersedia untuk pelanggan. Bermula dengan kedai buku dari garaj kini Amazon telah mengembangkan perkhidmatan melebihi buku, Amazon turut mempunyai perkhidmatan penghantaran yang dikenali Super Savers secara percuma Selain itu, terdapat juga beberapa aplikasi lain yang boleh dimuat turun oleh pengguna seperti Amazon AWS, Amazon Mechanical Turk dan turut menawarkan Amazon Kindle untuk pembeli membeli buku mereka dalam bentuk eBook. Pada akhir tahun 2011 juga, Amazon mula menawarkan perkhidmatan penstriman seperti Amazon Music dan Amazon Video.
Bagi syarikat sebesar Amazon ini, pekerja merupakan tulang belakang kepada perkembangan syarikat ini. Pengambilan pekerja itu dilakukan di ibu pejabat Amazon di Seattle. Setakat tahun 2019, Amazon mempunyai seramai 798,000 pekerja sepenuh masa dan sambilan dengan pendapatan bersih syarikat sekitar 280.5 bilion dolar Amerika Syarikat pada tahun 2019 sahaja (Tugba Sabanoglu, 2020). Seterusnya, menurut The New York Times (2020), Amazon telah menambah 427,300 pekerja yang sebahagian besarnya adalah pekerja gudang antara Januari dan Oktober, ia bertujuan untuk menampung permintaan pembeli daripada 1.2 juta orang di seluruh dunia, jumlah itu dikatakan meningkat lebih daripada 50 peratus dari tahun lalu. Menurut National Retail Federal, Amazon mempunyai kelebihan sebagai sebuah e-dagang terbesar di dunia, di mana penjualan dijangka meningkat sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu. Hal ini menunjukkan gambaran kekuatan syarikat ini dalam dunia perniagaan atas talian terutamanya dalam situasi pandemik yang memaksa masyarakat dunia untuk menghabiskan kebanyakan masa di dalam rumah bagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan. Semasa situasi pandemik Covid-19 ini tidak ada mana-mana agensi atau organisasi yang terkecuali dari menerima kesannya begitu juga dengan Amazon. Pada akhir bulan Mac 2020, Amazon menghadapi kritikan kerana tidak melindungi pekerja dan ianya telah mencetuskan kemarahan pekerja dan sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi kepada syarikat gergasi ini. Hal ini telah memberikan tamparan yang besar dalam syarikat ini. :(
-aisya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan