Selasa, 22 Disember 2020

Kesan Pandemik COVID-19 Kepada Perkembangan Emosi, Kognitif dan Psikososial Kanak-Kanak dan Remaja

 


BAHAN DI BAWAH IALAH IDEA DAN PENULISAN PENULIS BAGI TUGASAN UNIVERSITI, PEMBACA DILARANG UNTUK MELAKUKAN PLAGARISME ATAU MENIRU BAHAN PENULISAN BAGI TUJUAN YANG SAMA. 

 

TAJUK :

 Kesan Pandemik COVID-19 Kepada Perkembangan Emosi, Kognitif dan Psikososial Kanak-Kanak dan Remaja

 




 

 

Kini, negara kita telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020. Pelaksanaan PKPP ini sedikit sebanyak dilihat memberi suatu kelegaan kepada kita semua kerana kita dapat menjalankan rutin kebiasaaan kita sebelum pelaksanaan PKP tetapi langkah pencegahan dan SOP COVID-19 harus kita patuhi. Sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 17 Mac 2020, majoriti rakyat Malaysia terkesan dengan kehidupan norma baharu. Kanak-kanak dan remaja juga tidak dapat lari dari mendapat kesannya secara langsung sama ada kesan dari segi emosi, kognitif dan psikososial mereka.

Dengan memilih kanak-kanak atau remaja, bincangkan bagaimana pandemik COVID-19 memberi kesan kepada perkembangan emosi, kognitif dan psikososial mereka.  Dalam penulisan anda, anda perlu merujuk kepada dua atau tiga rujukan dari artikel jurnal yang baharu berkenaan COVID-19 yang diterbitkan pada tahun 2020.

 

 

 

 

 

 

Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP) 2020 merujuk kepada tindakan pencegahan oleh kerajaan persekutuan Malaysia terhadap kes pandemik koronavirus (COVID-19) bermula pada 16 Mac 2020 yang lalu dan diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020. Susulan daripada itu masyarakat di negara ini menunjukkan pelbagai reaksi apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi semula. Tidak dinafikan serangan pandemik ini memberi kesan besar terhadap pelbagai sektor di negara kita dan majoriti rakyat Malaysia sangat terkesan dengan kehidupan norma baharu ini. Di sebalik semua kekacauan ini, terdapat satu institusi yang sangat terkesan terutamanya dari segi mental, iaitu institusi kekeluargaan. Oleh itu, kanak-kanak dan remaja juga tidak dapat lari dari mendapat kesannya sama ada kesan dari segi emosi, kognitif dan psikososial mereka. Mereka merupakan mangsa yang terpinggir dalam pandemik ini, terkongkong dan sepi meraih perhatian dan bantuan yang jelas.

 

Pandemik ini membuktikan betapa pentingnya penjagaan kesihatan fizikal kita, namun ianya turut menyedarkan kita bahawa kesihatan mental juga perlu diberi keutamaan. Khususnya kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang masih bertatih dalam kehidupan mereka. Secara teorinya, kanak-kanak dan remaja memerlukan persekitaran yang kondusif dan kebebasan untuk mengeksplotasi dan meneroka kemahiran diri, namun pandemik Covid-19 yang melanda ini telah merencatkan aktiviti itu sekaligus menganggu perkembangan emosi, kognitif dan psikososial mereka. Lebih parah lagi apabila bukti baru-baru ini menunjukkan bahawa pandemik berupaya meningkatkan prevalensi gejala gangguan tekanan pasca-trauma, serta kekeliruan, perasaan kesepian, kebosanan dan kemarahan semasa dan selepas kuarantin (Brooks et al., 2020). Jadi dalam refleksi ini saya memilih golongan remaja dan bagaimana pandemik covid-19 ini memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi, kognitif dan psikososial mereka. 

 

Dalam konteks psikologi, sememangnya emosi memainkan peranan yang besar dalam membina kesejahteraan yang baik kepada remaja. Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Daniel Vigo dan rakan-rakan penyelidikan lain yang bertajuk kesihatan mental masyarakat semasa pandemik Covid-19 (2020), beliau berkata tempoh kawalan pergerakkan ini mempunyai pengaruh yang besar kepada kesejahteraan emosi, perasaan diri dan tujuan dalam hidup. Hal ini kerana, covid 19 ini bukan sahaja mampu membawa kepada mimpi buruk kepada remaja tetapi juga menganggu persepsi mereka. Kajian ini dikukuhkan dengan laporan akhbar atas talian Metro yang bertajuk ‘PKP: Ambil kira kesihatan orang muda’. Menurut akhbar itu, penelitian kesan psikologi semasa dan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu diambil kira. Hal ini kerana, golongan remaja ini yang rata-ratanya daripada kalangan pelajar mungkin kehilangan sokongan kesihatan mental seperti, sistem sokongan rakan sebaya atau perkhidmatan terapi kaunseling secara bersemuka. Bagi sesetengah remaja sekolah dan kawan-kawan merupakan tempat untuk mengekspresikan lebih perkembangan emosi mereka. Perkembangan emosi ini wujud daripada pelbagai sumber tetapi untuk menhasilkan emosi positif, remaja perlu dikelilingi dengan persekitaran dan interaksi yang baik, ini yang menjadi masalah kepada perkembangan emosi remaja kerana sewaktu tempoh kawalan ini pergerakkan remaja bukan sahaja disekat tetapi remaja juga tidak boleh untuk mengekspresikan emosi dengan bebas. Perkembangan emosi positif ini merupakan aspek yang sangat penting kepada remaja, ini kerana pada waktu ini mereka lebih cenderung untuk menonjolkan kebolehan dan kekuatan diri. Kegagalan perkembangan emosi yang sihat ini menyebabkan remaja akan berasa tidak bersemangat. Lebih menyedihkan remaja yang datang daripada golongan yang kurang bernasib baik seperti kemiskinan dan masalah keluarga akan berasa lebih tertekan kerana kehidupan yang dialami mereka pada waktu itu sehingga menyebabkan mereka ini juga berisiko untuk mendapatkan kesihatan mental lain seperti tekanan, stress dan kemurungan. Dalam kajian Daniel Vigo ini turut menegaskan agar kesihatan mental harus menjadi komponen penting dalam liputan kesihatan sejagat, yang akan meningkatkan keupayaan sistem untuk bertindak balas secara tiba-tiba terhadap ancaman seperti COVID-19.

 

Seterusnya, turut menerima kesan hebat juga adalah dari aspek kognitif, terutamanya dari segi pembelajaran remaja. Walaupun pendidikan di atas talian telah diperkenalkan oleh kerajaan dengan harapan agar remaja tidak ketinggalan. Ini tidak cukup untuk menyaingi keaktifan kognitif yang dialami mereka ketika pembelajaran bersemuka. Ini kerana, proses kognitif ini sendiri memerlukan tindakan mental atau proses memperoleh pengetahuan dan pemahaman melalui pemikiran, pengalaman, dan pancaindera yang seperti kita ketahui PKP membataskan aktiviti ini. Dalam hal ini keluarga adalah pusat pendidikan dan dipersetujui secara meluas untuk memberikan didikan utama dalam pembelajaran remaja seperti yang dijelaskan oleh Bjorklund dan Salvanes (2011). Namun, tidak semua remaja mempunyai ruang pendidikan yang kondusif. Wujud perbezaan antara keluarga-keluarga dalam membantu remaja untuk meneruskan pembelajaran mereka. Perbezaan utama termasuklah jumlah masa yang ada untuk pengajaran, kemahiran bukan kognitif ibu bapa, persekitaran yang kondusif seperti peralatan, buku rujukan, akses internet dan talan yang baik. Ibu bapa juga terhalang untuk membantu anak-anak disebabkan mereka sendiri tidak memahami dan mempelajarinya. (Oreopoulos et al. 2006). Tambahan pula menurut Simon Burgess dan Hans Henrik Sievertsen (2020) dalam artikelnya yang bertajuk School, skills, and learning: The effect of COVID-19 on education menjelaskan bahawa institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti adalah yang terbaik dalam meningkatkan kemahiran sosial dan kesedaran sosial. Walaupun dalam masa waktu persekolahan yang singkat ia masih juga membawa kepada pertumbuhan kemahiran ini kerana persekitaran tempat belajar yang memenuhi tiga kriteria proses perkembangan kognitif yang baik iaitu pemikiran, pengalaman, dan pancaindera tetapi tidak apabila pandemik ini terjadi. Keupayaan kognitif remaja tersekat dengan pelbagai aspek yang menghalang dan masalah-masalah yang timbul dari segi emosi dan fizikal remaja itu.  Akibatnya, keadan ini akan menyebabkan peningkatan ketaksamaan dalam kefungsian remaja sekaligus menganggu perkembangan kognitif remaja. Ini jelas membuktikan bahawa pandemik ini menurunkan fungsi kognitif dan aktiviti harian remaja menerusi kekangan yang wujud ketika ingin melaksanakan pembelajaran mereka.

 

Selari dengan perintah kawalan pergerakan ini, pihak kerajaan turut memerintahkan pasukan untuk memantau penjarakan sosial dalam kalangan masyarakat. Penjarakan sosial ini telah menjadi satu norma baru namun pendekatan ini sedikit sebanyak mengurangkan kefungsian psikososial antara masyarakat. Dalam konteks remaja, sememangnya pandemik ini memberi impak yang besar dalam pengamalan psikososial mereka. Menurut Mahaveer Golechha dalam kajiannya yang bertajuk ‘COVID-19, India, lockdown and psychosocial challenges: What next?’, menjelaskan bahawa PKP yang berterusan ini boleh menyebabkan kesukaran psikososial bagi penduduk akibat dari tekanan, kegelisahan, kekecewaan, kebosanan dan kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri. Tekanan dalam tempoh kritikal ini merangkumi ketakutan terhadap jangkitan, ketakutan terhadap kematian, ketidakpastian, kehilangan hubungan sosial, kurungan, maklumat yang tidak mencukupi, nasihat yang bertentangan, kehilangan aktiviti luar, terputus dari alam, kesepian, kemurungan, tidak berdaya, kemarahan, harga diri yang rendah , kerugian kewangan dan halangan untuk bekalan makanan dan air (Brooks et al., 2020; Jiménez-Pavón et al., 2020; Xiang et al., 2020). Tinjauan di China semasa wabak awal COVID-19 mendapati bahawa 54% responden menilai kesan psikologi wabak itu sederhana atau teruk, 17% melaporkan gejala kemurungan sederhana hingga teruk, 29% melaporkan gejala kecemasan sederhana hingga teruk, dan 8 % melaporkan tahap tekanan sederhana hingga teruk (Wang C et al., 2020). Ini membuktikan dengan serius bahawa psikososial remaja sangat terkesan dengan pandemik ini. Secara dasarnya, remaja sememangnya menjadi agen utama dalam meghidupkan suasana sosial, ini kerana jiwa remaja yang menginginkan jalinan afiliasi yang kuat dan amat mempengaruhinya, membina dan menjaga hubungan adalah salah satu ciri utama remaja. Kegagalan dalam membina interaksi sosial ini menyebabkan kefungsian psikososial remaja menjadi terganggu. Kekurangan keadaan bersemuka, perhubungan dengan orang lain dan tingkah laku yang positif yang dilakukan diluar rumah menjadikan keupayaan psikososial seseorang itu semakin rendah. Realitinya, sama ada suka atau tidak remaja perlu membina ciri psikososial yang baik seperti berkomunikasi secara atas talian, berinteraksi dengan kerap bersama keluarga dan mengkuti isu semasa menggunakan rangkaian sosial melalui saluran media sosial yang ada ntuk mengurangkan kesunyian dan pengasingan psikososial. Remaja tidak seharusnya menjadikan pandemik sebagai batasan untuk mereka mencapai kesejahteraan psikososial ketika pandemik. Dalam hal ini, sokongan psikososial juga perlu diberikan untuk membantu remaja menangani kegusaran dan tekanan mereka menghadapi pandemik ini dan membantu remaja untuk membina semula struktur sosial yang baik.

 

Kesimpulannya, pelaksanaan PKP yang agak mengejut ini memberikan kekecewaan dan gangguan kepada remaja untuk menerimanya. Hal ini dikatakan demikian, kebanyakkan remaja di Malaysia pada ketika itu sedang menjalani aktiviti harian mereka sebagai pelajar, pekerja dan pelbagai lagi, pelaksanaan PKP ini secara tidak langsung telah mencatas segala aktiviti harian dan sukar untuk diterima apabila kebebasan mereka itu ditarik secara tiba-tiba pada waktu mereka sedang seronok menjalankan kehidupan normal. Jujur, kesan dari pandemik ini remaja sedang mengalami emosi yang rumit, tidak mudah untuk mereka menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian, mengasingkan diri dari rakan mereka dan membatalkan pelbagai idea-idea yang menyeronokkan. Oleh itu jelas daripada situasi itu bahawa pandemik covid-19 ini memberi impak yang sangat besar kepada perkembangan emosi, kognitif dan psikososial mereka.  Dalam hal ini, Ibubapa juga memainkan peranan penting dalam  memberikan dorongan kepada remaja untuk membangunkan sepenuhnya potensi diri daripada perspektif mental, fizikal, sosial dan kerohanian.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

AI and Humans: Will we be replacing by AI?

  The rise of artificial intelligence (AI) has sparked questions and concerns about the future of human involvement. Will AI replace humans ...